Posted on

Bahayakah pil-pil ubat anda yang berwarna-warni itu?

Pernah tak anda tertanya-tanya, kenapa pil-pil yang anda dapat daripada farmasi, klinik mahupun hospital berwarna-warni?

Sesetengahnya ada yang berwarna oren terang, merah menyala, dari jauh dah boleh nampak pil tersebut

Tapi ada pulak yang cuma berwarna putih macam pil Paracetamol @ Panadol

Kenapa ya agaknya ubat-ubatan pil ni ada berbagai-bagai warna & saiz?

Artikel kali ini akan mengupas sejarah & sebab kenapa pil-pil ubatan kita datang dalam perlbagai bentuk & warna-warni.

 

Sejarah pembuatan pil & tablet perubatan

  • Paling awal dikesan kewujudan ubat dalam bentuk pil ialah semasa zaman Mesir Purba
  • Pada zaman itu, campuran ubat dilapisi oleh tanah liat atau roti pada bahagian luarnya, dan dibentuk dalam bentuk sfera seperti telur cicak atau kuih bijan atau kuih onde-onde
  • Selama 5000 tahun seterusnya, sehingga pertengahan abad ke 20, pil ubatan yang dihasilkan hanya dalam bentuk bulat & berwarna putih. Tiada warna lain selain putih, seputihnya warna salju di danau rindu
  • Hanya pada tahun 60-an, di zaman era muzik Irama 60-an menjadi fenomena di Malaya, baharulah revolusi warna melanda sektor penghasilan ubat-ubatan dalam bentuk pil atau tablet
  • Dengan kepesatan teknologi pada sekitar tahun 70-an,  penghasilah ubatan pil & tablet dalam kepelbagaian warna menjadi semakin rancak & pantas, terima kasih kepada penemuan teknologi kapsul gel lembut yang memungkinkan penghasilan ubatan pil & tablet dalam warna-warni
  • Warna terang yang memukau pandangan mata hadir dahulu seperti warna merah ceri, hijau limau & kuning buah oren
  • Pada zaman kini, kapsul gel boleh diwarnakan dengan 80,000 pilihan warna yang ada.

 

Warna ubat & persepsi

  • Leslie Harrington, PhD, Executive Director of the Color Association of the United States (CAUS), menerangkan warna pada pil & tablet ubatan memberikan peranan besar dalam menerbitkan persepsi yang sepatutnya kepada pesakit
  • Persepsi ini akan seterusnya memainkan emosi mereka
  • Warna dianggap sebagai “ejen yang memberikan maksud”.
  • Kerapkali kita mengaitkan warna dengan maksud yang tertentu seperti biru untuk menenangkan, merah untuk pantas & sebagainya
  • Ada laporan menyatakan yang para pesakit memberikan tindak balas yang pantas terhadap warna pil yang diambil dengan kesan warna pil tersebut.
  • Contoh: Warna biru muda untuk memberikan tidur malam yang lebih lena & warna merah menyala menjanjikan kesan perubatan yang pantas selepas diambil.

 

Warna ubat & identiti jenama

  • Industri farmasitekul juga menggunakan warna sebagai salah satu cara untuk membina pengalaman- untuk menambah & memperkasakan sifat & jenama ubat mereka di kalangan minda para pesakit & pengguna ubat mereka
  • Kebanyakan ubatan yang dahulunya hanya boleh di dapati setelah doktor memberi deskripsi, kini lebih mudah untuk di dapati di kaunter-kaunter farmasi di luar
  • Warna boleh dianggap status kuasa besar kerana ia merupakan asas kepada personaliti dadah itu sendiri
  • Warna boleh membantu pelanggan untuk membuat pembelian ubatan jenama tertentu dengan pemilihan warna oleh syarikat yang menghasilkan jenama ubatan tersebut kerana warna secara tidak langsung membantu merangsang rayuan emosi, untuk menerangkan nilai kesan ubat tersebut (seperti ubat tahan sakit yang boleh dipercayai) & untuk membezakan jenama syarikat ubat (contoh membezakan jenama Panadol & Uphamol)
  • Sebagai contoh kenapa pemilihan warna yang betul memberikan kesan yang nyata dalam membantu merangsang penjualan ubat adalah dengan melihat kajian kes 2 buah syarikat besar yang menawarkan perubatan dalam bidang kesuburan lelaki
  • 2 syarikat itu ialah Viagra & Levitra
    • Viagra hadir dalam pasaran pada tahun 1997
    • Mereka hadir dalam pil berbentuk berlian & berwarna biru
    • Viagra adalah salah satu contoh kejayaan besar dalam industri farmasetikul
    • Mereka mencatat rekod jualan sebanyak $1.74 billion USD (bukan RM 2.6 billion ya) hanya dalam tempoh setahun
    • Pada tahun 2002, syarikat pesaing jenama Levitra telah melakukan kajian pasaran untuk bersaing & meningkatkan jualan ubat mereka
    • Tujuan mereka hanya satu: “Bagaiamana nak mengalahkan si biru?” ; merujuk kepada warna pil viagra yang berwarna biru langit
    • Hasil kajian mendapati para pengguna Viagra tidak dapat berkenan dengan warna biru pada viagra
    • Mereka menganggap yang warna biru melambangkan “menghidap penyakit & terlalu dingin”
    • Berdasarkan data kajian ini. pihak Levitra telah mengubah penampilan pada pil mereka dengan menukar warna kepada warna oren yang lebih terang & menyala
    • Sebagai tambahan, mereka turut menukar logo kepada warna oren & api yang berwarna ungu
    • Ini sebagai usaha untuk memberi gambaran kepada para pengguna mereka yang ubat mereka dapat membantu pesakit menjadi lebih bertenaga & berasa lebih muda!

 

Warna ubat  & keselamatan

  • Kepelbagaian bentuk & warna ubat juga dapat membantu meningkatkan aspek keselamatan ubatan itu sendiri
  • Ini banyak membantu ahli farmasi daripada lebih banyak salah memberi ubat kepada pesakit.
  • Terdapat kes yang dilaporkan yang ahli farmasi silap memberi ubat kepada pesakit
  • Ini bukan sahaja tidak bagus untuk imej profesionalisma, namun yang lebih utama ialah keselamatan pesakit itu sendiri
  • Jika pesakit mengambil ubat yang salah pada dos yang salah, sudah pasti nyawa mereka akan terancam

Warna ubat & kecekapan penggunaan

  • Kajian yang dilakukan, dengan mewarnakan ubat, sedikit sebanyak dapat membantu pesakit mengambil ubat dengan lebih mudah
  • Lebih-lebih lagi warga emas yang perlu mengambil ubat yang kadang-kala tidak mempunyai penglihatan yang jelas
  • Warna ini dapat membantu mereka membezakan mana satu ubat yang perlu ditelan pada waktu yang ditetapkan
  • Contohnya untuk waktu malam, atuk perlu makan ubat kolesterol , vitamin & zat besi. Jadi jika ubat kolesterol berwarna merah jambu, vitamin berwarna oren terang & zat besi berwarna kuning, atuk akan lebih mudah untuk mengingat & mengambilnya dalam kuantiti & bilangan yang betul

 

Jadi kesimpulannya, warna pada ubat tidak membahayakan pesakit, malahan warna-warni ini dapat membantu pesakit & mengurangkan bahaya akibat kecuaian dalam pengambilan & pemberian ubat

Jika anda rasa artikel ini bermanfaat, sharelah dengan orang lain

 

 

 

 

 

Rujukan:

  1. The Color of Medications – https://www.colormatters.com/color-symbolism/the-color-of-medications
  2. Why is that tablet blue? – https://www.pharmacist.com/why-tablet-blue
  3. Why are medicine capsules coloured? – https://www.quora.com/Why-are-medicine-capsules-coloured
Posted on

Hukum Dalam Islam Menggunakan Khidmat Doula di Malaysia

Melahirkan anak dengan menggunakan khidmat Doula?

 

Hukum Dalam Islam Menggunakan Khidmat Doula di Malaysia. Baru-baru ini tular di media sosial tentang isu-isu sensasi berkaitan melahirkan anak tanpa pengawasan pegawai perubatan mahir yang hanya mengharapkan kepada tunjuk ajar & pengawasan insan bergelar Doula.


Mukadimah

Isu doula mula timbul beberapa tahun kebelakangan ini dan menjadi semakin hangat apabila dikejutkan dengan kematian seorang bayi yang dilahirkan di rumah, tanpa kehadiran bidan atau pakar perubatan bertauliah.

Bayi berkenaan dikatakan meninggal dunia akibat komplikasi kerana bayi dan ibunya hanya berada di bawah pengawasan doula.

Walaupun kes ini masih dalam siasatan pihak berkuasa, kami merasa terpanggil untuk mengulas isu ini secara menyeluruh berdasarkan laporan-laporan yang diperoleh daripada sumber-sumber kedua-dua belah pihak.

Kami namakan Bayan Linnas pada kali ini dengan tajuk Hukum Menggunakan Khidmat Doula.

 

Definisi

Sebelum kami memberi jawapan dengan lebih terperinci, kami mulakan dahulu dengan definisi khidmat doula. Perkataan ‘doula’ itu sendiri berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud “hamba wanita”.

Kamus English Oxford menghuraikan doula sebagai “woman, typically without formal obstetric training, who is employed to provide guidance and support to a pregnant woman during labour.” (wanita, tipikalnya tanpa latihan perbidanan yang formal, yang mana diambil bekerja untuk menyediakan panduan dan sokongan kepada wanita mengandung semasa proses kelahiran)

Menurut penjelasan American Pregnancy Organization, doula adalah seorang pelatih profesional yang membantu memberikan sokongan dari segi emosi, pendidikan (contohnya, ilmu kehamilan, cara meneran, cara bernafas) dan fizikal (secara sentuhan seperti urutan)[1]

Sokongan ini diberikan kepada ibu yang hamil, akan bersalin, atau telah bersalin.

Tugas utama doula adalah untuk membantu para ibu mempunyai pengalaman bersalin yang selamat, menenangkan dan diingati.

 

Jenis Doula

Menurut WebMD, secara asasnya, terdapat 3 jenis doula iaitu:

  • doula antepartum
  • doula labor
  • doula pospartum.

Doula antepartum membantu memberi ilmu kehamilan dan mengajar cara-cara bersalin kepada ibu mengandung.

Doula labor pula berada di sisi ibu ketika bersalin.

Manakala, doula postpartum akan berada di sisi ibu selepas bersalin dan membantu dalam hal penjagaan bayi dan penyusuan termasuk penjagaan ibu dan pengurusan kerja rumah.[2]

[products_slider]

Hukum Menggunakan Khidmat Doula

Kes kematian bayi yang melibatkan doula baru-baru ini di Malaysia membuka mata banyak pihak akan betapa seriusnya isu ini dalam kalangan masyarakat kita.

Begitu juga ada kes kematian wanita yang bersalin akibat daripada khidmat doula yang tidak profesional.

Doula sebagaimana pengamalan di luar negara, menggalakkan kelahiran bayi di hospital dengan dibantu oleh doktor.

Mereka tidak berperanan mengambil alih tugas bidan dan doktor terlatih.

Ini kerana, sekiranya berlaku apa-apa komplikasi seperti pendarahan selepas kelahiran, proses kelahiran yang memerlukan caesarean, janin stres di dalam kandungan, tersangkut dan bayi songsang, ia memerlukan kemahiran yang tinggi oleh pakar.

Jika tidak, ia mungkin boleh membawa kepada kematian ibu atau bayi atau kedua-duanya.

Setelah meneliti dan menekuni isu ini, disamping mendapatkan maklumat dari pakar perubatan[3], kami berpandangan penggunaan khidmat doula adalah tidak boleh dilakukan tanpa pemerhatian doktor atau bidan yang terlatih.

Alasan tidak mahu melahirkan anak di hospital kerana isu aurat tidak timbul kini dengan adanya seluar bersalin mesra aurat, hospital-hospital tertentu yang menawarkan khidmat bersalin dengan menutup aurat, disamping perlu difahami bahawa nyawa adalah jauh lebih penting maslahatnya berbanding aurat dalam situasi tersebut.

Selain itu, meyakini bahawa melahirkan anak di rumah adalah mencontohi Maryam alahissalam adalah tidak benar kerana kejadian yang berlaku di zaman tersebut adalah kehendak Allah SWT untuk membuktikan kekuasaan-Nya.

Adapun bagi manusia selainnya, tidak terlepas daripada aspek sabab-musabab-musabbib al-asbab (causality).

Apa yang diusahakan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia jelas menunjukkan kejayaan dalam pengurangan kadar kematian ibu bersalin dari tahun demi tahun, begitu juga kadar kematian bayi.

Bagi tahun 2017, 12.5 kematian bayi dalam setiap 1,000 kelahiran berbanding 12.9 pada tahun 2016 dan 13.69 pada tahun 2014.

Dalam masa yang sama, amat penting supaya penjagaan sejak mengandung dilakukan di tempat-tempat yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, bukannya hanya melalui konsultasi doula semata-mata.

Suka untuk kami ingatkan kepada pengamal perubatan dan juga doula, sebuah hadis daripada Amru’ bin Syu’aib, daripada bapanya, daripada datuknya bahawa Nabi SAW bersabda:

 

مَنْ تَطَبَّبَ، وَلَا يُعْلَمُ مِنْهُ طِبٌّ، فَهُوَ ضَامِنٌ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mengubati dan tidak diketahui daripadanya (tidak mahir) ilmu perubatan, maka dia bertanggungjawab (atas apa-apa yang terjadi).”
(Riwayat Abu Daud, no. 2633)

 

Mulla ‘Ali al-Qari menjelaskan kalimah (وَلَا يُعْلَمُ مِنْهُ طِبٌّ) dengan katanya:

مُعَالَجَةٌ صَحِيحَةٌ غَالِبَةٌ عَلَى الْخَطَأِ فَأَخْطَأَ فِي طِبِّهِ وَأَتْلَفَ شَيْئًا مِنَ الْمَرِيضِ

Maksudnya: “(Dia tidak mengetahui) Rawatan yang sahih, yang kebiasaannya boleh membawa kepada kesalahan. Maka dia tersilap dalam rawatannya dan menyebabkan terjadi sesuatu yang buruk (atau kecacatan/kematian) pada pesakit. (Lihat Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih, 6/2293)

Al-Muzhiri menjelaskan,

مَنْ شرع في علم الطب ولا يكون مشهورًا فيه، فإذا عالج مريضًا فهو ضامن

Maksudnya: Barangsiapa yang memasuki ilmu perubatan dan dia tidak menjadi masyhur dalamnya (tidak menguasainya), jika dia mengubat pesakit, dia bertanggungjawab (atas apa-apa yang terjadi).” (Lihat al-Mafatih Syarh al-Masabih, 4/217)

Ini juga satu bentuk peringatan daripada Rasulullah SAW untuk tidak bermudah-mudahan dalam ilmu perubatan sekiranya tidak ada pengetahuan yang cukup mendalam tentangnya kerana ia akan membawa risiko kepada pesakit sendiri.

Sebuah hadis Nabi SAW yang menjadi kaedah fiqh menyebut:

لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ

Maksudnya: “Tidak boleh melakukan perbuatan yang memudharatkan diri sendiri dan orang lain.”
Riwayat Ibn Majah (2341) dan al-Daruqutni (4/228) serta selainnya dengan sanad yang bersambung, juga diriwayatkan oleh Imam Malik (2/746) dalam Muwattho’ secara mursal dari Amr bin Yahya dari bapanya dari Rasulullah SAW, beliau tidak menyebutkan Abu Sa’id. Namun ia memiliki jalan-jalan yang sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain.) Hadis hasan.

Perkataan dharar (ضرر) dan dhirar (ضرار) sebahagian ulama berpendapat kedua lafaz ini dengan satu makna dan disebut dengan kedua-duanya sebagai ta’kid (penguat).

  • Ibn Habib berpendapat dharar (ضرر) di sisi ahli bahasa arab adalah isim (kata nama). Sebaliknya dhirar (ضرار) pula memberi maksud fi’il (kata kerja)
  • Al-Khusyani berpendapat: “Dharar (ضرر) ialah yang mendapat manfaat bagi kamu sedangkan jiran kamu pula mendapat mudarat. Sebaliknya perkataan dhirar (ضرار) di mana ia tidak memberi sebarang manfaat dan ke atas jiran kamu sedangkan kamu mendapat mudarat. Inilah wajah yang baik dari sudut maknanya.”

Imam Ibn Daqiq al-‘Id menyebut, bahawa al-Mahasini berkata:

“Bahawa yang dimaksudkan dengan merugikan adalah melakukan sesuatu  yang bermanfaat bagi dirinya, tetapi menyebabkan orang lain mendapatkan  mudharat”. Ini adalah pendapat yang benar. Sebahagian ulama berkata: “Yang dimaksud dengan ‘kamu membahayakan’ iaitu engkau merugikan orang yang tidak merugikan kamu.  Sedangkan yang dimaksudkan “saling merugikan” iaitu engkau membalas orang yang merugikan kamu dengan hal yang tidak setara dan bukan untuk membela kebenaran.”

Berdasarkan hadis di atas, menyelamatkan nyawa dari sebarang mudharat dan yang membawa kepada mudharat adalah wajib.

Ini bertepatan dengan prinsip penjagaan nyawa (hifz al-nafs) dalam maqasid syari’ah yang diletakkan oleh Imam al-Ghazali dalam bahagian dharuriyyat.

 Kita amat berharap agar setiap nyawa dapat diselamatkan dari tindakan yang boleh membawa kepada kematian disebabkan oleh doula yang tidak bertanggungjawab.

Dalam banyak hadis, Rasulullah SAW melarang segala perlakuan yang boleh membahayakan sesama Muslim. Sabda Nabi SAW:

 

إِنَّ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ حَرَامٌ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: Sesungguhnya darah kalian dan harta kalian haram atas kalian
(Riwayat Muslim, no. 1218)

Melakukan sesuatu yang membahayakan atau mencalarkan kehormatan dan juga melibatkan harta atau jiwa umat Islam adalah tindakan kezaliman yang diharamkan oleh Allah SWT.

Justeru, marilah sama-sama kita menginsafi seperti dalam isu ini dengan merujuk kepada pakar-pakar perubatan yang telah diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia agar sebarang tindakan rawatan kesihatan sentiasa dalam keadaan yang selamat.

 

Akhukum fillah,

SS Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

11 Februari 2018

_________________________________________________

[1] http://americanpregnancy.org/labor-and-birth/having-a-doula/

[2] https://www.webmd.com/baby/what-is-a-doula

[3] Temuramah dengan Dr. Abdul Latif Mohamad pada 10 Februari 2018.


Pihak Beauroque mengambil inisiatif untuk berkongsi artikel yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Malaysia ini agar kita rakyat Malaysia lebih cakna tentang isu Hukum Dalam Islam Menggunakan Khidmat Doula di Malaysia.

Tidak salah menggunakan khidmat doula seperti yang dilakukan diluar negara namun jika kita nak jadi seperti mereka, jadilah sepenuhnya seperti mereka.

Seperti dalam artikel di atas, doula di luar negara tidak meminggirkan langsung keperluan & kehadiran pegawai perubatan professional semasa proses menyambut kelahiran bayi.